SAYA merasakan perlu memberi ingat kepada saudara-saudara sekalian kepada
satu bencana yang akan berlaku sebagaimana yang telah diberi amaran oleh
Rasulullah saw di dalam beberapa hadisnya dengan sabdanya yang bermaksud:
"Takutlah kamu kepada Allah SWT dalam perkara-perkara yang berhubung
dengan kaum perempuan."
|
Kita melihat di akhir-akhir ini kaum wanita menjadi fitnah dan bencana yang
digunakan oleh mereka yang bertujuan untuk meruntuhkan akhlak umat Islam.
Mereka menjadi sasaran apabila batang tubuh mereka dijadikan alat untuk
mengiklankan barang-barang jualan walaupun barang-barang tersebut tidak ada
kena mengena dengan kaum wanita.
|
Batang tubuh wanita dijadikan punca kepada maksiat apabila berlaku kelakuan
mendedahkan aurat di kalangan mereka. Allah WST menentukan bahawa Rasulullah
saw mendidik keluarga dan isteri-isteri baginda terlebih dahulu sebelum
memberi pendidikan kepada orang lain sebagaimana firman Allah di dalam
al-Quranul Karim yang bermaksud:
|
"Wahai nabi, katakan kepada isteri-isterimu, jika kamu sekalian inginkan
kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya Aku berikan kepada kamu,
kemudian Aku ceriakan kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu sekalian
menghendaki (keredhaan) Allah dan rasul-Nya (kebahagiaan) hari akhirat, maka
sesungguhnya Allah menyediakan kepada sesiapa yang berbuat baik di antara kamu
pahala yang besar."
|
(Surah Al-Ahzab: ayat 28-29)
|
Begitulah Allah SWT memerintahkan Rasulullah saw supaya mendidik isteri-isteri
baginda supaya berpegang dengan agama dan mendidik keluarganya supaya mematuhi
perintah Allah SWT. Kita melihat kedua ibu bapa pada hari ini kurang memberi
perhatian kepada pantang larang agama terutamanya di dalam perkara menutup
aurat di kalangan anak-anak perempuan mereka.
|
Beranggapan bahawa menutup aurat hanyalah satu adat dan budaya semata-mata dan
bukannya ada kaitan dengan agama, tidak ada kaitan dengan dosa pahala dan hari
akhirat. Rasulullah saw memberi tahu di dalam hadisnya Israk dan Mikraj
bahawa baginda melihat ada perempuan yang digantung kepalanya di dalam neraka
jahanam kerana mendedahkan aurat.
|
Ini menunjukkan bahawa perkara aurat bukannya perkara yang boleh dipandang
ringan. Ada ibu bapa yang tidak mengambil kisah apabila anak-anak mereka
mendedahkan aurat di khalayak ramai lalu berlakulah perkara-perkara yang tidak
diingini seperti zina, rogol dan sebagainya, maka pada masa itu barulah kedua
ibu bapa merasa susah dan malu.
|
Puncanya ialah kerana mereka tidak mendidik anak-anak dengan didikan yang
betul. Rasulullah saw pernah memberi tahu dalam hadisnya bahawa Allah SWT
akan memasukkan kedua ibu bapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan
kemudian mendidik mereka secara didikan agama. Sahabat bertanya:
|
"Kalau ada dua orang anak perempuan?"
|
"Ya, walaupun dua orang."
|
Dapat difahami daripada hadis ini, iaitu kalau orang dapat menjaga anak-anak
mereka dengan baik dan mengikut adab-adab Islam, akan dimasukkan ke dalam
syurga, maka sebaliknya sesiapa yang tidak peduli terhadap pendidikan anak-anak
akan menjadi sebab untuk dimasukkan ke dalam neraka.
|
Firman Allah SWT yang bermaksud:
|
"Wahai orang-orang beriman, selamatkan diri kamu dan keluarga kamu daripada
azab neraka."
|
(Surah Al-Taharim: ayat 6).
|
Rasulullah saw mengajar kita cara mendidik anak sebagaimana sabdanya yang
bermaksud:
|
"Suruhlah anak-anak kamu sembahyang apabila berumur tujuh tahun. Pukul mereka
apabila berumur sepuluh tahun jika tidak juga sembahyang serta pisahkan tempat
tidur mereka."
|
Bukan sahaja kita wajib memerintah dan memukul anak-anak apabila berumur
sepuluh tahun kerana tidak sembahyang tetapi juga hendaklah dibuat perkara
yang sama ke atas mereka apabila tidak melakukan suruhan-suruhan agama yang
lain seperti menutup aurat, puasa dan lain-lain.
|
Ramai ibu bapa pada akhir-akhir ini menjaga anak-anak mereka seolah-olah hanya
memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti memelihara ayam,
itik, lembu, kerbau dan kambing yang hanya bertujuan menggemukkan badan
sahaja.
|
Percayalah apabila anak-anak itu diajar dengan akhlak yang baik, anak-anak
itu akan memberi faedah kepada orang tuanya semasa hidup dan selepas mati,
semasa sihat dan semasa sakit, di dunia dan di dalam kubur. Kita tidak mahu
anak-anak yang menjadi beban dan celaka kalau tidak pandai mendidik mereka.
|
Walaupun sekadar tidak menutup aurat, anak-anak kita akan membawa celaka
semasa hidup dan selepas mati. Marilah kita kembali kepada Allah dengan
memberi perhatian kepada diri kita dan kepada anak isteri kita dengan jangan
membiarkan mereka membuka aurat di khalayak ramai dan bergaul secara bebas
yang kemudiannya akan membawa mala petaka kepada diri mereka, keluarga,
masyarakat dan negara, seterusnya membawa bala di akhirat kelak kepada kita.
Terima kasih sudi baca . Komenlah sekali ;)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan