BERUSAHA mencari rezeki halal dan
membelanjakannya bagi memenuhi keperluan hidup yang selesa dan sempurna
adalah antara ibadat yang besar ertinya dalam kehidupan seseorang Muslim.
|
Demikian juga penderitaan dan
kesengsaraan hidup, kadang-kadang adalah balasan yang disegerakan di dunia
bagi membolehkannya menerima nikmat sepenuhnya di akhirat tetapi ada juga
penderitaan itu akibat kelemahan iman terhadap kekuasaan Allah dan
berleluasanya kemungkaran dalam kehidupannya.
|
Hakikat ini dijelaskan Allah
menerusi firman-Nya yang bermaksud:
|
"Sesiapa yang mengikuti
petunjuk daripada-Ku, nescaya dia tidak akan sesat dan tidak pula akan
menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling daripada ingatan dan
petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit."
|
(Surah Al-Taha: ayat 123-124)
|
Di samping unsur kerohanian, Islam
juga mengakui bahawa kebendaan turut berfungsi memberi keselesaan kepada
manusia. Justeru, Islam menghalalkan kita mengambil makan minum yang lazat,
memilih tempat dan kediaman yang memenuhi kehendak dan cita rasa, memiliki
kenderaan yang cantik dan pasangan hidup yang damai dan tidak mendatangkan
masalah.
|
Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw
bersabda, maksudnya:
|
"Empat perkara bakal
mendatangkan kebahagiaan: isteri yang salihah, rumah yang luas, jiran yang
baik dan kenderaan yang selesa. Empat perkara yang mengundang kekacauan:
isteri yang buruk akhlak, jiran yang jahat, kenderaan yang buruk dan rumah
yang sempit."
|
Bagi mengekalkan keselesaan dan
kebahagiaan di dunia, Islam juga menolak beberapa tabiat buruk yang boleh
mengancam kesejahteraan hidup dan menukarnya dengan sekelip mata daripada
senang kepada susah, daripada hidup mewah kepada menderita dan papa kedana.
|
Antara tabiat buruk yang mengancam
kesejahteraan umat ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan
membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai
punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.
|
Al-Quran mengingatkan manusia dua
perkara penting melalui dakwah dan Rasul, iaitu bahaya kehidupan mewah dan
tabiat sukakan pembaziran. Firman Allah SWT bermaksud:
|
"Dan orang yang tidak
melarang perbuatan mungkar di bumi ini menitikberatkan segala kemewahan yang
diberikan kepada mereka dan jadilah mereka orang yang berdosa."
|
(Surah Al-Hud: ayat 116)
|
Dr Yusuf al-Qardawi mengulas
mengenai kemewahan, katanya:
|
"Kemewahan hidup berbeza
antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika
dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana
dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza."
|
Imam Fakhr al-Razi mengertikan
kemewahan yang menjadi punca keruntuhan masyarakat ialah tabiat hidup yang
sombong dengan kenikmatan yang dirasai.
|
(Tafsir Al-Kabir, 18/75)
|
Kehidupan yang selesa adalah suatu
bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam tetapi kehidupan mewah dan
sombong adalah suatu cara hidup yang buruk dan dikeji.
|
Sikap sombong dengan nikmat yang
diperoleh, sering membawa manusia melupai Allah SWT dan jauh daripada jalan
yang benar. Atas dasar mewah dan sombong inilah, Islam mengharamkan
penggunaan peralatan emas dan perak, hamparan sutera dan melarang lelaki memakai
pakaian yang diperbuat daripada emas dan sutera.
|
Selain hidup berfoya-foya dengan
kemewahan, al-Quran juga menentang amalan boros dan pembaziran harta ketika
berbelanja sehingga melampaui batas kesederhanaan sekali pun barang yang
dibelanjakan diperoleh daripada sumber yang halal.
|
Banyak ayat menyentuh mengenai
keburukan tabiat ini, antaranya firman Allah SWT bermaksud:
|
"Sesungguhnya Firaun adalah
orang yang sombong takbur lagi terbilang dalam golongan orang yang boros
berbelanja."
|
(Surah Al-Dukhan: ayat 31)
|
Membazir dan boros berbelanja
diertikan dengan mengguna harta tanpa muslihat dan kepentingan. Amalan ini
juga bertentangan dengan prinsip kesederhanaan yang menjadi sifat utama Ibad
al-Rahman (hamba-hamba Allah yang maha penyayang) dan dikehendaki Islam
sebagaimana firman-Nya bermaksud:
|
"Hamba-hamba Allah ialah
mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tidak boros dan tidak kedekut,
sebaliknya perbelanjaan mereka adalah sederhana."
|
(Surah Al-Furqan: ayat 67)
|
Al-Quran juga sering menggambarkan
keburukan tabiat ini dengan menyatakan beberapa persamaan antara mereka dan
syaitan, sebagaimana dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud:
|
"Sesungguhnya orang yang
boros adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang
sangat kufur kepada Tuhannya."
|
(Surah Al-Israk: ayat 27)
|
Imam Fakhr al-Razi mengulas erti
pembaziran yang diharamkan Islam, iaitu menghabiskan harta pada jalan yang
tidak membawa faedah. Ini bermakna jika harta dibelanjakan pada jalan
kebaikan dan kepentingan umum, tidak boleh disifatkan sebagai membazir atau
boros.
|
(Tafsir Al-Kabir: 20/195)
|
Pembazir harta dikira sebagai
saudara syaitan kerana ada beberapa persamaan, antaranya ialah sama-sama
kufurkan nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya dan tidak menggunakan nikmat
yang ada untuk faedah umum yang mendatangkan kebajikan.
|
Pembaziran harta disebut juga
dalam hadis Rasulullah dengan Idat al-Mal atau memusnahkan harta benda. Sikap
ini termasuk amalan yang dibenci Allah. Dr Yusuf al-Qardawi dalam bukunya
"Dawr al-Qiyam Wa al-Akhlak Fi al-Iktisad al-Islami" memberi contoh
pembaziran yang berlaku dalam masyarakat sama ada secara disedari atau tidak,
seperti mengabaikan ternakan dan tanaman, tidak menjaga makanan sehingga
musnah dan tidak boleh dimakan, membiarkan pakaian kotor sehingga cepat
luntur, tidak menyelenggara rumah kediaman, kereta dan barang kepunyaan
sendiri sehingga cepat rosak.
|
Membiarkan lampu menyala tanpa
sebarang muslihat, membiarkan paip air bocor menyebabkan kerugian terpaksa
ditanggung, membuang makanan yang masih boleh dimakan pada hal ada orang
miskin yang kelaparan, memusnahkan pakaian yang masih baik dan boleh dipakai
semata-mata kerana dianggap ketinggalan zaman pada hal ada orang
memerlukannya untuk menutup aurat, menaiki kenderaan bersendirian pada hal
masih ada beberapa tempat duduk yang kosong dan ada orang yang memerlukannya
untuk menuju ke destinasi yang sama dan makan bersendirian padahal dia boleh
dikongsi beberapa orang.
|
Mensia-siakan harta adalah suatu
sikap yang bertentangan dengan budaya Islam, termasuklah membiarkan bumi
kosong tanpa ditanam sebarang pokok atau tanpa diambil langkah menghidupkan
buminya, perusahaan yang tidak ditingkatkan produktivitinya pada hal ia masih
boleh ditingkatkan, haiwan disembelih tetapi banyak bahan yang berfaedah terbuang
seperti kulit, bulu dan seumpamanya.
|
Justeru, pembaziran bertentangan
dengan budaya Islam. Rasulullah pernah menegur seorang lelaki yang sedang
mengheret bangkai kambing untuk dibuang, sabda baginda:
|
"Mengapa kamu tidak buang
kulitnya terlebih dahulu?"
|
Jawab mereka:
|
"Kulit kambing ini bangkai
yang tidak berguna lagi."
|
Sabda baginda:
|
"Bangkai itu hanya haram
dimakan, tetapi kulitnya masih boleh dimanfaatkan."
|
Justeru, harta benda tidak boleh
disia-siakan. Imam al-Bukhari menjudulkan hadis di atas dengan suatu judul
yang menarik, iaitu: "Perlukah tempayan arak dipecahkan?"
|
Maksud beliau ialah jika tempayan
arak boleh dibersihkan, tidak ada sebab mengapa ia harus dimusnahkan.
|
Pemikiran Islam jelas sekali dalam
hal ini dan kita percaya hasrat kerajaan supaya mengambil langkah berjimat
cermat bagi mengatasi masalah kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan nilai
ringgit akan tercapai sepenuhnya dalam tempoh terdekat jika ajaran Islam ini
dihayati dengan sebaik-baiknya.
|
(Dipetik dari Berita Harian Online
Oktober 18, 1997)
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan